Wednesday, August 19, 2009

Belajar sunting foto

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com

Laman sesawang http://www.ilmuit.com mampu mengajar pengguna amatur menggunakan Adobe Photoshop sehingga mahir.



REMAJA yang gemar merakamkan gambar sudah tentu suka menyunting (edit) gambar mereka. Lazimnya, kebanyakan remaja hanya tahu menggunakan aplikasi Paint tetapi tidak tahu bagaimana menggunakan Adobe Photoshop kerana ia lebih rumit.

Namun, dengan hanya melayari laman web http://www.ilmuit.com dan klik pada Adobe Photoshop, anda boleh mempelajarinya, malah memahami penggunaannya dengan mudah.

Adobe Photoshop adalah produk perisian penyunting imej yang boleh digunakan untuk mencantikkan foto mengikut keinginan pengguna. Anda juga boleh menambah dan menguruskan warna mengikut imej grafik.



Ia didatangkan dengan pelbagai fungsi bagi memudahkan pengguna untuk memilih, melukis, dan menyunting imej. Antara peralatan yang disediakan di dalam Adobe Photoshop ialah toolbox, multiple undo, pengurusan warna dan pengurusan lapisan (layer).

Pengguna hanya perlu faham dan tahu menggunakan toolbox sebelum mahir mengaplikasikan Adobe Photoshop. Fungsi toolbox membolehkan anda memilih pelbagai alat seperti pemadam, pengabur, penajam, penerang, penyala, membuat pilihan warna, membuat mask, menulis, membentuk dan mewarna.

Kemudahan-kemudahan ini digabungkan dengan ciri brushes iaitu alat untuk memberus dan palettes iaitu alat mengesan dan mengubah sesuatu imej secara digital. Terlalu banyak kegunaan Adobe Photoshop yang boleh dipelajari. Secara umumnya, anda boleh melakukan apa sahaja ke atas foto yang telah dirakam.



Walaupun foto yang anda miliki sudah terlalu lama dan berwarna kekuningan, dengan adanya Adobe Photoshop, semua masalah tersebut dapat diatasi.

Di dalam laman web itu juga, terdapat beberapa teknik pembelajaran Adobe Photoshop seperti membentuk kecerunan warna, mengubah dan membesarkan mata, selain cara mewarnakan rambut.

Selain itu, terdapat teknik membuat border gambar, menghasilkan efek hitam putih dan berwarna serta menghasilkan lukisan cat air.

sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0811&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_07.htm

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More